1. Kenangkan keutamaan orang yang dapat mengawal perasaan dan ganjaran-ganjaran yang Allah janjikan kepada orang yang menahan kemarahannya, bersifat sabar suka memberi maaf dan bersikap redha dengan ketentuan takdir Allah, Antara lain, janji Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: Bersegeralah menuju pengampunan Tuhanmu serta syurga yang luasnya adalah seluruh langit dan bumi. Itu disediakan untuk orang-orang yang bertakwa iaitu orang-orang yang suka menahan kemarahannya dan pula yang gemar memaafkan kesalahan para manusia dan Allah itu mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan' [Ali Imran: 133-134]
2. Ingati juga balasan yang Allah sediakan di akhirat kepada orang yang menghamburkan perasaan marah. Ketika itu diri sendiri amat menagih secebis ampunan, rahmat serta belas kasihan daripada Yang Maha Agung.Dengan mengenang hal ini kita tidak akan bersikap angkuh dan keras hati, sebaliknya lebih suka menghulurkan kemaafan dan mengasihani sesama manusia. Rasulullah saw. bersabda: 'Janganlah kamu putus-memutuskan hubungan, belakang-membelakangi, benci-membenci dan hasut menghasut. Hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara satu sama lain dan tidaklah halal bagi orang islam mendiamkan {tidak menegur sapa} saudaranya lebih dari tiga hari.' [Riwayat Bukhari dan Muslim]
3. Fikirkan juga akibat daripada sikap pemarah yang boleh memudaratkan diri, apabila lain turut membalas perlakuan marah kita dengan sikap yang serupa.Ingatlah bahawa sebagai hamba Allah kita tidak dapat lari daripada memiliki dan melakukan kesilapan. Begitu juga orang lain.
4.
Bandingkan diri kita yang bersikap pembengis dan sedang dibakar api kemarahan dengan seekor binatang yang buas lagi liar. Kemudian kenangkan pula peribadi para rasul, nabi, alim ulama' serta orang-orang soleh yang mulia. Maka hati kita akan terdorong untuk menjauhi tabiat binatang sebaliknya terdorong mengamalkan sikap yang diwarisi orang-orang yang mendapat kedudukan istimewa dan dikasihi Allah sebagai teladan peribadi.
5. Tanya diri kita kenapa kita harus menurutkan perasaan marah? Apa punca yang menyebabkan kita marah? Nanti kita akan sedari bahawa ia tidak lain daripada mengikut bisikan syaitan dan hawa nafsu. Dan kita insaf bahawa syaitan dan nafsu itu hanya mengajak kepada kejahatan dan kederhakaan terhadap Allah. Mengikut bisikan dan ajakan kedua-dua musuh dalam diri ini bermakna menempah padah di akhirat kelak. Dengan mengenang semua ini, kita akan dapat memujuk hati agar bersikap sabar dan pemaaf.
'Alam indah dengan kebaikan, alam kelam dengan kejahatan. alam hitam dengan kejahilan, alam tambah kusam oleh kebodohan yang disengajakan.'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment